Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bercakap pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (#EduRoundtables2025) di Langkawi, Kedah hari ini. Foto AIZAT ZAINAL, 19 JUN 2025.

LANGKAWI – Malaysia komited menerajui usaha menangani isu keciciran pelajar tidak bersekolah peringkat ASEAN menerusi pelbagai intervensi strategik yang dibincangkan dalam persidangan Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN yang berlangsung di sini sejak semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata,  persidangan kali ini memberi fokus utama terhadap isu keciciran dan mencari penyelesaian bersama sebagai satu komuniti ASEAN.

“Keciciran pelajar ini bukan isu kita sahaja, ia melibatkan semua komuniti ASEAN dan kita mencari intervensi bersama untuk menyelesaikan isu ini.

“Kita belajar daripada setiap negara… bagaimana Singapura, Brunei dan Indonesia menyelesaikan isu-isu terkait rapat dengan keciciran ini dengan barangkali intervensi domestik mereka.

“Ada beberapa intervensi yang saya lihat menarik atau sebagai game changer untuk ASEAN dan juga Malaysia,” katanya selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (#EduRoundtables2025) di sini hari ini.

Tambah Fadhlina, teknologi memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu keciciran namun ia tidak boleh menggantikan peranan guru.

“Kita setuju bahawa kepentingan untuk mengangkat martabat guru dan juga melihat kepentingan guru-guru kita ini diberikan upskilling, diberikan latihan secukupnya untuk memastikan bahawa reformasi yang benar-benar kita nak terajui dalam pendidikan ini berlaku dalam unit yang paling kecil iaitu bilik darjah itu sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina menegaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) akan membentangkan pindaan Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah pada sidang Parlimen akan datang.

Tegas beliau, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh sistem pendidikan negara dan menangani isu keciciran pelajar yang tidak bersekolah.

“Kita akan bawa perkara ini pada sesi Parlimen akan datang dan mudah-mudahan sempat untuk bentangkan pindaan Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah dulu,” katanya

Media sebelum ini melaporkan undang-undang adalah langkah terakhir yang akan dilaksanakan KPM jika ibu bapa gagal mematuhi Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah yang akan dilaksanakan kelak.

Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, melalui pelaksanaan dasar di bawah pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), KPM akan memberi tumpuan kepada proses advokasi, kesedaran dan tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan fasiliti dan akses pendidikan terlebih dahulu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast