SHAH ALAM – Gerakan Rebuild Taman Sri Muda hari ini menuntut kerajaan pusat dan kerajaan negeri Selangor menamatkan kemelut penduduk beberapa kawasan di Shah Alam yang sering menjadi mangsa banjir.
Antara kawasan yang dinaiki air pada hari ini adalah Taman Sri Muda, Bukit Kemuning dan Batu 8, Jalan Kebun.
Pengasas dan Presiden gerakan tersebut, Umagandhan Krishnan berkata, sehingga kini mangsa-mangsa banjir sentiasa menanggung kerugian tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.
Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya bantuan dana atau bantuan memperbaiki rumah diberikan kepada mangsa banjir di kawasan ‘hotspot’ Shah Alam.
“Sekarang ini, penduduk yang jadi mangsa sudah penat. Setiap kali hujan setiap kali itulah banjir. Mangsa sepatutnya dapat dana bantuan.
“Cuba bayangkan, setahun enam kali banjir langsung tiada dana bantuan.
“Kalau tidak mahu (beri dana bantuan) silalah lantik jawatankuasa khas untuk perbaiki rumah mangsa. Mereka pun bukan hanya fokus untuk dapat duit sahaja sebagai bantuan.
“Cuba bayangkan berapa banyak duit sudah mangsa habis akibat banjir yang sering berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.
Terdahulu beliau mendakwa, kerja-kerja perparitan di kawasan-kawasan berkenaan sering dipandang remeh selagi pihaknya tidak memberikan tekanan dan gesaan.
“Kami difahamkan, pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) perlu masa empat tahun untuk habiskan kerja-kerja perparitan dan saliran di Taman Sri Muda, Taman Bukit Kemuning dan Batu 8.
“Itu pun kami dapat tahu selepas penduduk Sri Muda buat protes, kalau tidak, tiada ada maklumat diberikan kepada kami,” tegasnya.
Beliau turut meminta wakil rakyat di kawasan berkenaan dan menteri Kabinet terbabit untuk turun padang menyaksikan sendiri penderitaan penduduk yang sering menjadi mangsa banjir setiap kali hujan berterusan .
“Tempat itu tidak dikunjungi Ahli Parlimen dan Menteri Besar (Selangor), Datuk Seri Amirudin Shari. Kami tidak pernah ada sesiapa buat kunjungan,” katanya.
Sementara itu katanya, Gerakan Rebuild Taman Sri Muda dan mangsa banjir di beberapa kawasan di Shah Alam nekad berarak ke Parlimen pada minggu depan, sekiranya tiada tindakan lanjut daripada Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Pusat.
Hari ini beberapa kawasan di Shah Alam termasuk Bukit Kemuning antara yang terjejas selepas dinaiki air akibat hujan berterusan sejak awal pagi tadi. – MalaysiaGazette
















