BATU PAHAT – Seorang bapa ditahan reman tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana disyaki merogol dua anak kandung perempuannya sejak kira-kira 11 tahun lalu.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Nurasidah A Rahman ke atas suspek, 44, bermula hari ini sehingga 27 Jun ini.
Ia bagi membolehkan siasatan terhadap suspek yang merupakan seorang buruh sawit djalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Mengikut laporan dibuat, suspek merogol dua anak perempuannya sejak mereka berusia lima dan enam tahun di rumahnya dan juga di pondok kebun sawit.
Seorang mangsa yang kini berusia 17 tahun dirogol sejak berusia enam tahun dengan kejadian terakhir berlaku bulan lalu manakala adiknya berusia 16 tahun dirogol sehingga 2022.
Kejadian menimpa dua beradik itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kepada salah seorang gurunya sebelum mereka bertindak membuat laporan polis.
Siasatan awal polis mendapati, kedua-dua mangsa adalah anak sulung dan kedua suspek dan kejadian dipercayai berlaku ketika ibu mangsa sedang tidur dan tiada di rumah.
Isteri suspek yang juga ibu mangsa berusia 43 tahun tidak mengetahui kejadian itu kerana suspek turut mengugut kedua-dua remaja itu jika memberitahu perkara itu kepada orang lain.
Difahamkan, suspek bersifat baran menyebabkan mangsa ketakutan kerana bimbang dipukul jika tidak menuruti arahannya.
Di mahkamah sama, seorang pelajar tingkatan tiga direman tujuh hari kerana disyaki enam kali meliwat rakan sekelas sejak tahun lalu.
Suspek berusia 15 tahun ditahan semalam selepas ibu bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa anaknya.
Terdahulu, ahli keluarga mangsa menerima panggilan pihak sekolah memaklumkan anaknya dibuli seorang pelajar.
Namun selepas disoal siasat, mangsa memberitahu, dia diliwat suspek selain turut diugut jika menceritakan kejadian itu kepada guru atau ibu bapanya.- MalaysiaGazette
















