KUALA LUMPUR – Video tular memaparkan seorang individu menyerupai bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang didakwa menerima bantuan kewangan daripada seorang ‘Datuk’ adalah tidak benar.
Sebaliknya, video itu telah dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Menurutnya, polis kini sedang menyiasat video yang dikesan menerusi TikTok pada 20 Jun lalu.
“Video terbabit yang dikaitkan dengan penerimaan bantuan kewangan daripada individu bernama ‘Datuk Abdul Ghani’ dan kononnya telah dimasukkan ke dalam bank, adalah palsu serta tidak berasas.
“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menegaskan Ketua Polis Negara ke-13 tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang dipaparkan dalam video itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu katanya, Acryl Sani telah membuat satu laporan polis mengenai dakwaan itu dalam masa yang sama, menafikan rakaman video terbabit adalah kenyataan rasminya.
Menurut Hussein, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan semula video tersebut.
“Polis Selangor memandang serius penyalahgunaan teknologi seperti AI untuk tujuan penipuan atau fitnah yang boleh mencemarkan nama baik mana-mana pihak.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyebaran maklumat palsu ini,” katanya.-MalaysiaGazette
















