GEORGE TOWN – Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah (PAKU) menyambut baik usaha tegas yang digerakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani gejala penagihan dadah dan penggunaan vape yang semakin membarah dalam kalangan belia, terutamanya generasi muda Melayu.
Pengerusi PAKU, Amirul Syahir Musa berkata, langkah proaktif dan berprinsip yang sedang diambil kerajaan harus disambut baik oleh seluruh masyarakat kerana isu ini bukan sekadar soal kesihatan, tetapi menyentuh masa depan negara.
“Kami memandang serius perkembangan gejala ini yang bukan sahaja menggugat kesihatan fizikal dan mental generasi muda, malah berpotensi melemahkan struktur sosial dan masa depan negara.
“Langkah-langkah kerajaan termasuk penggubalan dasar lebih ketat, pendidikan kesedaran di peringkat akar umbi serta kerjasama antara agensi dan NGO adalah amat wajar dan perlu disokong oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah beliau, PAKU akan terus komited dalam mendekati golongan belia menerusi program-program advokasi, khidmat kaunseling dan aktiviti kemasyarakatan, khususnya bagi mereka yang terdedah kepada risiko ketagihan.
“Kami juga amat menggalakkan penglibatan anak muda dalam persatuan belia dan komuniti kerana inilah platform untuk mereka membina jati diri, menyumbang kepada masyarakat dan menjauhi anasir negatif.
“Golongan muda adalah aset negara. Jika tidak dibimbing dengan betul, kita bukan sahaja kehilangan potensi mereka, malah berdepan risiko rosaknya masa depan negara,” tegas beliau.
PAKU turut menyeru agar semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, pemimpin komuniti dan pertubuhan belia berganding bahu dengan kerajaan dalam memerangi ancaman ini secara menyeluruh.
Pada Rabu lalu, Perdana Menteri dalam ucapannya pada Seminar Kenegaraan Malaysia Madani, Guru Pemangkin Patriotisme Negara menegaskan pentingnya tindakan segera diambil bagi menangani isu berkenaan, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Kita lihat orang Melayu ini (isu) dadahnya berat. Tadi mesyuarat Jemaah Menteri kita bincang masalah dadah dan vape dalam kalangan anak-anak kita, tolonglah bincang, carilah jalan kaedah mana pun.
“Apakah perlu dana, apakah perlu kaunseling, perlu dakwah? Beritahulah. Kerana berpuluh tahun kita fikir belum selesai,” kata Anwar. – MalaysiaGazette
















