GEORGE TOWN – Seorang pesara akauntan kilang kerugian lebih RM855,001 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto dalam talian menerusi platform dikenali sebagai Gexertmat Exchange.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, warga emas lelaki berusia 73 tahun itu mula terjerat dalam penipuan berkenaan pada Mac lalu selepas tertarik dengan iklan di Facebook yang menawarkan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
“Mangsa dikatakan menekan pautan iklan itu dan mula berhubung dengan suspek wanita menerusi aplikasi WhatsApp.
“Berminat menyertai pelaburan itu mangsa diarah memuat turun aplikasi Gexertmat Exchange untuk mendaftar sebagai ahli serta membuat pelaburan
“Mangsa melakukan sebanyak 14 transaksi kemasukan wang ke dalam lima akaun bank milik syarikat yang berbeza antara April hingga 11 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, mangsa hanya menyedari diperdaya apabila tidak menerima sebarang pulangan keuntungan seperti yang dijanjikan.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut semalm dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette















