BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita warga emas berusia 57 tahun kerugian sebanyak RM1,680,464 selepas terjerat dalam satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang dikenali sebagai FXCM.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang juga pesara syarikat swasta itu mengenali suspek lelaki warga asing yang mengaku berasal dari Hong Kong melalui aplikasi WhatsApp pada akhir Mac lalu.
“Selepas kira-kira tiga minggu berhubung, mangsa menjadikan suspek sebagai ‘adik angkat’ sebelum diajak menyertai pelaburan FXCM yang kononnya menawarkan pulangan 10 peratus dalam tempoh singkat.
“Mangsa memulakan pelaburan awal sebanyak USD2,000 (RM8,716) pada 18 Mac lalu dan menerima pulangan RM10,023, menyebabkan dia percaya pelaburan itu sah serta menguntungkan.
“Dia kemudian membuat 36 transaksi ke 20 akaun bank milik pelbagai syarikat antara 14 Mac hingga 14 Jun dengan nilai kerugian mencecah lebih RM1.68 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hamzah, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal membuat pengeluaran keuntungan dan turut diminta membayar bayaran tambahan.
“Mangsa tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















