KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut dua dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 60, Jalan Johor Bahru-Mersing di sini malam tadi.
Kejadian pukul 11.35 malam itu mengorbankan mangsa, Muhammad Safuan Mat Sari, 34, yang memandu kereta jenis Honda Stream.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan kereta Honda Stream, lori jenis Hino dan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux.
“Siasatan mendapati kereta yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Mersing menuju ke Kota Tinggi dan ketika tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Lori yang datang dari arah Kota Tinggi sempat mengelak ke kiri namun bahagian kanan kereta mangsa tetap bergesel dengan lori tersebut sebelum bertembung secara berdepan dengan Toyota Hilux yang berada di belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kemalangan tersebut menyebabkan Muhammad Safuan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Sementara penumpang kereta, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, pemandu Toyota Hilux berusia 34 tahun alami cedera parah di bahagian kepala dan sedang dirawat di Hospital Kota Tinggi manakala pemandu lori berusia 50 tahun tidak cedera.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya demi keselamatan bersama,” katanya.
Dalam pada itu seramai 16 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dan Bandar Penawar dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan dua jentera.
Komander Operasi BBP Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Syukri Mohd Yusof berkata, terdapat seorang mangsa terperangkap dan telah maut ketika pihaknya sampai ke lokasi kejadian.
Ujarnya, dua mangsa lain yang cedera pula telah dibawa oleh ambulans sebelum pasukan keluaran operasi tiba di lokasi kejadian.
“Tindakan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette
















