MELAKA – Ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) fizikal berusia 9 tahun yang mati dipercayai didera di rumah keluarganya di Taman Kota Laksamana di sini semalam direman tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah kesalahan bunuh.
Perintah reman sehingga 30 Jun ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini untuk siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pasangan masing-masing berusia 36 dan 38 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah menaiki kenderaan polis memakai pakaian lokap bewarna jingga kira-kira pukul 9 pagi sebelum keluar sejam kemudian.
Difahamkan, kanak-kanak berketurunan Murut itu merupakan OKU fizikal yang tidak boleh berjalan dan merupakan anak kedua daripada tiga beradik.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan kejadian menyayat hati itu terbongkar pada pukul 9.45 pagi semalam selepas pihak polis menerima panggilan daripada doktor sebuah hospital swasta di Banda Hilir.
Sumber berkata, doktor memaklumkan terdapat kesan disyaki didera selepas mangsa dihantar bapa tirinya yang berasal dari Sabah dan bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk mendapatkan rawatan.
“Doktor yang memeriksa mendapati mangsa mengalami patah kaki serta kesan lembam di kepala dan badan.
“Pesakit kemudian meninggal dunia di wad kecemasan hospital kira-kira pukul 9.45 pagi sebelum polis turut menahan ibunya yang merupakan warga Indonesia,” katanya. – MalaysiaGazette
















