BUTTERWORTH – Seorang pemandu kereta jenis Perodua Kelisa yang tular menghalang penjawat awam menjalankan tugas apabila memecut laju dan didapati membawa bekalan dadah didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohd Fadzly Mohd Zahari, 34, juga berdepan hukuman penjara lima bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman tersebut dijatuhkan selepas pekerja kilang itu mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang Koperal Mohd Shamsuddin Zakaria menjalankan tugasnya secara sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Flat Ampang Jajar di sini, jam 10 malam pada 19 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Ketika pendakwaan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat susulan tindakan tertuduh bukan saja menghalang penjawat awam tetapi merisikokan orang awam kerana memecut laju kenderaan termasuk melawan arus.
Bagaimanapun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh dalam mitigasi rayuan mohon denda minima keran pengakuan tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah selain dia merupakan pekerja kilang dengan pendapatan RM1,700 sebulan.
Sementara itu, di mahkamah sama tertuduh mengaku salah atas pertuduhan memiliki dadah jenis amphetamin seberat 0.99 gram di lokasi dan tempat sama dengan pertuduhan pertama.
Siti Marissa Safina menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan kimia.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan kes pada 18 Ogos depan. – MalaysiaGazette
















