ISKANDAR PUTERI – Rumah dan kereta milik seorang pegawai pemeriksa kenderaan disimbah cat merah di Taman Pulai Jaya, di sini, baru-baru ini angkara perbuatan along yang mengugut agar membayar hutang sepupunya.
R Nithiyananthan, 32, mendakwa menjadi mangsa selepas dua kali rumah dan kenderaannya disimbah cat walaupun tidak pernah meminjam dengan along terbabit.
Jelasnya, dia atau ahli keluarga terdekatnya tidak pernah meminjam dengan along dan perbuatan tersebut dilakukan sepupunya sebelum menghilangkan diri lebih lima tahun lalu.
“Kejadian pertama berlaku pada 2023 lalu, apabila kediaman dan kenderaan saya disimbah cat merah menyebabkan kerugian lebih RM1,000.
“Namun difahamkan hutang itu telah diselesaikan tidak lama kemudian,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ahli Parlimen Iskandar Puter, Taman Pulai Jaya, di sini, hari ini.
Dia kemudian lega apabila dimaklumkan hutang sudah dilunaskan namun sekali lagi terkejut apabila rumahnya sekali lagi disimbah cat merah pukul 9 malam, 5 Jun lalu.
Katanya, kejadian tersebut berlaku semasa mereka keluar makan di luar dan apabila pulang mendapati cat merah telah memenuhi kawasan parkir, pagar dan tembok rumah.
“Saya terus menghubungi abang saudara bertanyakan tentang perkara itu dan dimaklumkan dia ada berhutang sebanyak RM7,000 lagi,” katanya.
Dia yang menetap di kediaman itu bersama-sama ibu, isteri dan seorang anak perempuan berusia satu tahun kini bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarganya.
Nithiyananthan memberitahu, sepupunya itu tidak pernah tinggal di rumah tersebut.
“Saya tidak faham mengapa sindiket along ini menyasarkan kediaman kami. Kami pernah hubungi nombor along berkenaan dan memaklumkan perkara tersebut, sebaliknya along itu membuat ugutan mahu membakar kediaman kami sekiranya hutang tidak dibayar.
“Disebabkan bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga, saya telah membuat dua laporan polis. Satu di Balai Polis Kangkar Pulai, manakala satu lagi di Singapura kerana nombor telefon digunakan along itu adalah nombor Singapura,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















