Nur Aishah hadir bersama ibunya untuk mendapatkan keputusan STPM di Kolej Tingkatan Enam Desa Murni, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – “Saya janji dengan ayah untuk dapat keputusan cemerlang, dan hari ini saya tunaikan janji itu.”

Itulah luahan Nur Aishah Marzuki, 20, pelajar Kolej Tingkatan Enam Desa Murni, selepas mencatat kejayaan cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 yang diumumkan hari ini.

Anak ketiga daripada empat beradik itu bukan sahaja membuktikan kemampuan diri, tetapi juga menjadikan kejayaan tersebut sebagai hadiah buat arwah bapanya, Marzuki Hashim, bekas anggota tentera yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya lima tahun lalu.

“Saya bukan pelajar yang luar biasa pun. SPM saya cuma 6A, dan STPM bukan pilihan utama saya. Tapi saya percaya, kalau kita benar-benar berusaha dan tidak putus asa, kejayaan pasti menyusul,” katanya ketika ditemui.

Bagi Nur Aishah, kejayaan yang diraih bukan semata-mata tentang angka atau keputusan di atas kertas, tetapi simbol ketabahan, doa dan pengorbanan terutamanya dari ibunya, Wan Noriza Azmi, 50, yang membesarkan mereka empat beradik seorang diri selepas kehilangan suami.

“Mak tidak bekerja. Kami hidup sederhana, bergantung pada wang pencen arwah ayah. Tapi mak tetap kuat, tak pernah berhenti beri sokongan, semangat dan kasih sayang,” kata Nur Aishah dalam nada sebak.

Mengimbas kembali perjalanan di tingkatan enam, Nur Aishah mengakui ia bukan  mudah, namun disiplin belajar yang konsisten serta menjaga ibadah menjadi resipi utama kejayaannya.

“Saya ulang kaji tanpa jemu, gandakan usaha setiap hari dan banyakkan berdoa. Itu kunci utama saya. Saya percaya kejayaan ini hadir dengan izin Allah dan berkat doa mak,” tambahnya.

Sementara itu, seramai 95 calon STPM di Pulau Pinang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan kali ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang Yusof Shaari berkata, bilangan itu meningkat 25 orang berbanding 70 calon pada STPM 2023.

“Dua daripada 17 calon yang mendaftar turut memperoleh 5A dalam semua mata pelajaran berbanding tiada seorang calon pun pada peperiksaan tahun lalu.

“PNGK Pulau Pinang STPM 2024 telah meningkat sebanyak 0.06 mata berbanding tahun lepas iaitu 2.90 pada 2023 kepada 2.96 pada 2024.

“PNGK Pulau Pinang pada tahun ini juga merupakan PNGK negeri tertinggi sejak dilaksanakan peperiksaan STPM setakat ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast