Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli bercakap kepada pemberita pada sidang media mengenai Ops Luxury di depoh JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto NIZAM ZAIN, 24 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Sebanyak 101 pelbagai jenis kenderaan mewah disita kerana melakukan pelbagai kesalahan menerusi Ops Luxury yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara sepanjang Jun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, antara disita termasuk Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayenne, BMW 530E, Lotus Elise S, Toyota Alphard, Vellfire dan Mercedes-Benz.

“Antara kesalahan hingga menyebabkan kenderaan mewah itu disita ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans sah dan lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen sah (CDL).

“Turut dikesan kesalahan mempamer nombor kenderaan lain, ketidakpadanan nombor casis dengan maklumat dalam sistem dan penggunaan Trade Plate palsu,” katanya pada sidang media di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli mendengar taklimat Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam mengenai 17 kenderaan mewah yang disita sekitar Kuala Lumpur dalam Ops Luxury di depoh JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto NIZAM ZAIN, 24 JUN 2025

Turut hadir Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam.

Daripada 101 kenderaan mewah yang disita di seluruh negara itu, sebanyak tiga negeri mencatatkan jumlah tertinggi iaitu WPKL (17), Selangor (17) dan Pulau Pinang (14).

Aedy berkata, kesemua kenderaan mewah terbabit kini ditahan di depoh simpanan JPJ untuk siasatan dan telah disita untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan-peraturan berkaitan.

“Pelaksanaan Ops Luxury ini memberi isyarat jelas bahawa JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

“Pemilikan kenderaan mewah bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya yang sah,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli meninjau kenderaan mewah yang disita sekitar Kuala Lumpur dalam Ops Luxury di depoh JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto NIZAM ZAIN, 24 JUN 2025

Katanya, JPJ menyeru pemilik kenderaan agar lebih bertanggungjawab dengan memastikan dokumen kenderaan dan lesen memandu sentiasa diperbaharui serta sah digunakan.

“Orang awam turut digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang melalui Aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau emel [email protected] beserta butiran aduan lengkap.

“JPJ akan terus melaksanakan Ops Luxury secara berkala bagi memastikan hanya kenderaan yang sah, selamat dan berdaftar dibenarkan berada di atas jalan raya demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta integriti sistem pengangkutan negara terus terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast