Steven Sim Chee Keong

GEORGE TOWN – Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong, menyelar kenyataan Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad yang mempertikai pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Johny Lim Eng Seng sebagai pegawai tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tegas Steven Sim, pengorbanan seorang perajurit tidak wajar dinilai melalui lensa perkauman.

“Kenyataan Zaharuddin bukan sahaja biadab, malah satu penghinaan terhadap seluruh anggota ATM yang berkhidmat dengan penuh disiplin dan setia kepada tanah air.

“Di perbatasan, peluru tidak tanya tentera kita tu Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Orang Asli.Namun, bila pelantikan dibuat, ada yang lebih memilih sentimen perkauman berbanding semangat patriotik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, tindakan mempertikaikan pelantikan atas alasan perkauman bermakna memperlekeh institusi ATM dan Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

“Ini bukan sekadar menghina individu yang dilantik, tetapi mencabar kepercayaan yang diberikan oleh Angkatan Tentera dan juga perkenan Seri Paduka Baginda. Tindakan ini amat keterlaluan dan tidak wajar dibiarkan begitu sahaja.

“Negara ini telah melahirkan ramai tokoh dalam pasukan keselamatan yang berkhidmat dengan cemerlang tanpa mengira latar belakang, antaranya Laksamana Muda Tan Sri Dr. K. Thanabalasingam, Ketua Turus Tentera Laut pertama yang dilantik dari kalangan anak tempatan, dan Brigadier Jeneral Datuk Seri Goh Seng Toh yang pernah memegang jawatan tinggi dalam ATM.

“Apakah pengorbanan selama empat dekad dalam pasukan pertahanan negara masih belum cukup layak bagi sesetengah pihak? Apakah semangat setia kepada Jalur Gemilang masih perlu ditimbang dengan prejudis?”soalnya.

Tambah beliau, kenyataan hasutan dan tidak patriotik seperti ini mesti dikenakan tindakan undang-undang yang tegas, tanpa mengira siapa pun pelakunya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast