Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Baru tiga hari duduk bersama, seorang lelaki ditemukan maut dipercayai ditikam oleh rakan serumahnya di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, Sungai Buloh dekat sini malam tadi.

Mangsa yang baru tiba dari Kelantan bersama suspek itu dilaporkan maut di tempat kejadian selepas berlaku pertengkaran antara mereka di ruang tamu rumah.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi dan kejadian berlaku pukul 11.26 malam.

“Sebaik tiba di rumah berkenaan, mangsa yang berusia 33 tahun itu ditemukan terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di bahagian dada kiri.

“Seorang lagi lelaki yang turut menghuni rumah tersebut berada di tempat kejadian dan ditahan kerana dipercayai menikam mangsa.

“Kedua-duanya baru sahaja datang dari Kelantan dan tinggal serumah sejak tiga hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan ambulans dari Hospital Sungai Buloh yang tiba tidak lama selepas itu kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 12.01 tengah malam.

Siasatan lanjut oleh Bahagian Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat manakala suspek berusia 40 tahun direman selama enam hari sehingga 1 Julai ini bagi membantu siasatan,” tambahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Sungai Pelong di talian 03-6038 3322 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurnazihah Norzilan di talian 011-1149 9008. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast