KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak yang berterusan menghentamnya di sebalik keputusan mahkamah yang yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) individu-individu tertentu.
Menurut Perdana Menteri, dalam masa sama, pihak yang sama turut bercakap tentang soal kebebasan kehakiman.
Jelas beliau, perkara itu adalah antara cabaran yang perlu dihadapi beliau khususnya dan Malaysia amnya ke arah reformasi serta transformasi negara khususnya dalam menentang amalan rasuah.
“Sebagai contoh dalam isu rasuah, apabila seseorang mendapat DNAA, Perdana Menteri dikritik. Pada minggu berikutnya seorang lagi mendapat DNAA dan Perdana Menteri juga dikritik (kumpulan lain).
“Tetapi kumpulan ini semua bercakap tentang kebebasan kehakiman. Tetapi seolah-olah kebebasan kehakiman itu adalah satu bentuk kediktatoran.
“Apa sebenarnya yang mereka mahu? Mahu saya jadi diktator? Mahu saya arahkan hakim membuat keputusan mengikut pandangan peribadi mereka terhadap rasuah? Ada yang setuju, ada yang tidak, ada yang menentang habis-habisan.
“Tetapi inilah maksud sebenar kebebasan kehakiman. Eksekutif ada kuasa tetapi ia juga ada batas kerana prinsip pengasingan kuasa,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Simposium ASEAN MADANI Leadership Program anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Persatuan Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa pemimpin politik khususnya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh mahkamah tertentu bersabit pertuduhan rasuah yang sedang dihadapi mereka.
Antaranya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mana Mahkamah Tinggi baru-baru ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) beliau daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Selain itu, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut diberikan DNAA atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Sementara itu, Anwar turut melahirkan rasa hairan dengan sikap sikap hipokrit sesetengah pihak yang hanya menumpukan kepada individu tertentu semata-mata, sebagai contoh bekas Perdana Menteri dalam mempersoalkan tentang amalan rasuah.

Sedangkan dalam masa sama, ujar beliau, pihak berkenaan menafikan hakikat berbilion-bilion ringgit telah diseleweng tetapi langsung tidak memberi sokongan kepada usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.
“Apa yang tidak kena dengan sistem kita? Kita sepatutnya bebas untuk bersuara.
“Saya tidak menyatakan kita harus terjerumus ke dalam politik kepartian, tetapi kita seharusnya tertarik kepada etika dan nilai.
“Hanya kerana para hartawan ini menyokong mereka, menyokong organisasi mereka, menyokong parti mereka, atau menyokong masyarakat sivil mereka, itu tidak bermakna kita harus mengabaikan atau menutup mata terhadap amalan rasuah yang berlaku pada masa lalu,” katanya. – MalaysiaGazette
















