Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis telah mengenal pasti lima pelajar senior yang dipercayai terlibat dalam kejadian buli terhadap seorang pelajar tingkatan dua di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Besut, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, permohonan reman ke atas kesemua suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan lanjut.

“Lima pelajar tingkatan tiga yang disyaki terbabit dalam kejadian itu sudah dikenal pasti dan polis akan membuat permohonan perintah reman ke atas mereka esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pihaknya sebelum ini telah menerima laporan daripada seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun selepas mendakwa dibuli di asrama putera sekolah berkenaan pada malam Selasa lalu.

“Mangsa mendakwa diarahkan untuk duduk dalam kedudukan separa mencangkung dengan selipar diletakkan di atas kepala selama kira-kira 40 minit oleh pelajar senior sekitar pukul 11.30 malam.

“Selain itu, dia turut mendakwa dia ditumbuk di bahagian perut dan ditampar di muka,” tambahnya.

Kejadian itu telah disedari oleh warden bertugas sebelum mangsa dan beberapa suspek dibawa ke pejabat warden untuk tindakan selanjutnya.

Penjaga mangsa kemudiannya dihubungi dan diminta membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast