Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berucap pada Ceramah Pakatan Harapan pada Jelajah Pakatan Harapan Selangor Parlimen Kota Raja di Jalan Kebun, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 24 MEI 2026.
Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin

KUALA LUMPUR – Parti Islam SeMalaysia (Pas) diingatkan tidak terlalu ghairah mengajar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai konflik China-Taiwan dan dasar luar negara.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin menegaskan, sebaliknya Pas perlu memberi tumpuan kepada perbahasan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) di Parlimen.

“Pas sepatutnya lebih prihatin terhadap isu yang dekat dengan kepentingan umat Islam, khususnya selepas pendedahan laporan RCI TH,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan Perdana Menteri berhubung konflik China-Taiwan apabila menyentuh kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan dalam menangani isu berkenaan.

Menurut Danish, Pas perlu memberi tumpuan kepada persoalan campur tangan dan pertimbangan politik didakwa mempengaruhi beberapa keputusan penting TH, termasuk berkaitan hibah, bayaran haji serta Bantuan Kewangan Haji.

“Pas hari ini begitu ghairah mahu mengajar Perdana Menteri tentang konflik China-Taiwan dan bagaimana Malaysia harus mengurus dasar luar negara.

“Saya cadangkan Pas jangan pergi terlalu jauh dahulu. Sebelum sibuk bahas Taiwan, lebih baik Pas bahas Tabung Haji,” katanya.

Danish berkata, pendedahan RCI itu tidak wajar dipandang ringan kerana ia menyentuh soal tadbir urus institusi yang mempunyai hubungan langsung dengan kepentingan umat Islam di negara ini.

Lebih membimbangkan, katanya, laporan berkenaan turut menyentuh beberapa pelaburan yang mencurigakan serta pelaburan yang mengalami kerugian sehingga 100 peratus.

“Lebih serius, terdapat isu melibatkan RM22.12 juta dana Yayasan Tabung Haji yang menjadi antara perkara yang disiasat,” katanya.

Beliau berkata, persoalan mengenai bagaimana keputusan pelaburan dibuat, siapa yang bertanggungjawab serta sejauh mana pertimbangan politik mempengaruhi keputusan institusi berkenaan perlu diberikan perhatian serius.

Menurutnya, isu tersebut jauh lebih dekat dengan kehidupan umat Islam berbanding perdebatan geopolitik mengenai Beijing dan Taipei yang cuba diketengahkan Pas.

“Sebelum Pas mahu menjadi pakar geopolitik dan mengajar kerajaan tentang Beijing dan Taipei, bahas dahulu persoalan yang lebih dekat dengan umat Islam.

“Bahas TH, bahas bagaimana keputusan dibuat, bahas isu campur tangan politik, pelaburan yang mencurigakan dan persoalan RM22.12 juta dana Yayasan Tabung Haji,” katanya.

Danish berkata, perbahasan mengenai dasar luar negara sememangnya penting, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan persoalan domestik yang menyentuh amanah serta kepentingan jutaan umat Islam.

“Kalau benar Pas mahu membawa suara umat Islam, persoalan TH ini tidak boleh diketepikan.

“Jangan terlalu jauh bercakap soal Taiwan sehingga persoalan TH yang lebih dekat dengan umat Islam tidak dibahaskan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

Malaysia jangan terheret dalam konflik China-Taiwan – Takiyuddin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here