KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki yang disambar buaya ketika memancing di tebing sungai berhampiran Jalan Matang, di Kuching, Sarawak malam tadi, ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Irwan Hafiz Mohd Radzi berkata, mangsa dikenali sebagai Jacob Tuan, 32, ditemukan dalam keadaan sempurna dengan beberapa kesan luka di badan yang dipercayai akibat gigitan buaya.
“Mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12.30 tengah hari, sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam tadi, mangsa dilaporkan sedang memancing di Sungai Maong, Matang sebelum seekor buaya tiba-tiba muncul dan menyambarnya lalu menariknya ke dalam sungai.
Insiden itu turut disaksikan ahli keluarganya yang berada di lokasi, namun tidak sempat memberikan bantuan kerana kejadian berlaku terlalu pantas.
Susulan itu, mereka segera menghubungi pihak polis untuk memaklumkan kejadian berkenaan.
Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Batu Lintang digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada pihak polis.
Bagaimanapun, operasi SAR terpaksa ditangguhkan sekitar jam 12.30 tengah malam berikutan keadaan gelap dan laluan yang sukar dilalui kerana dipenuhi semak samun.
Operasi disambung semula pada jam 8 pagi tadi dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC), sebelum mayat mangsa berjaya ditemui. – MalaysiaGazette















