Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berucap pada Majlis Konvokesyen Kali ke- 5 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 30 JUN 2025.

SHAH ALAM – Peningkatan lebih 300 peratus permohonan kemasukan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi pengambilan Julai disifatkan sebagai rekod yang memberangsangkan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, ia dilihat selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan pendidikan tersebut sekaligus meningkatkan kebolehpasaran graduannya.

Menurutnya, kursus latihan yang mendapat sambutan adalah sektor minyak dan gas, automotif terutama dalam bidang kenderaan elektrik (EV) dan yang berkaitan dengan teknologi.

“Dalam dua tiga tahun ini, kita boleh tengok peningkatan amat ketara sekali dalam permohonan TVET,” katanya pada sidang media Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia kali ke-5 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam hari ini.

Beliau hadir bagi mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar.

Rubiah seterusnya berkata, matlamat kementerian itu adalah untuk meningkatkan 100 peratus graduan TVET namun beliau akur dengan minat belia yang berbeza.

“Target kita memang kalau boleh 100 peratus namun kita sedia maklum KKDW kita mencapai 98.8 peratus khasnya di UniKL. Namun kita perlu maklum kita tidak akan mencapai 100 peratus sebab graduan tidak semua ke arah ini ada yang pergi ke keusahawanan dan melanjutkan pelajaran,” katanya lagi.

Selain itu, katanya, kolej vokasional turut merekodkan permohonan lebih 60,868 kali ini.

“Manakala jumlah kapasiti ditawarkan 17,537 boleh nampak sambutan untuk pembangunan pendidikan TVET begitu tinggi,” tambahnya,

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak syarikat dan majikan tampil ke hadapan dan memainkan peranan lebih besar dalam menyokong sistem TVET negara sama ada melalui program perantis, pelaburan dalam akademi korporat atau pemindahan teknologi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast