Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang, DAP, Pakatan Harapan (PH) serta semua pihak yang pernah mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan pembunuhan Kevin Morais wajar memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri itu secara terbuka.

Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See To berkata, ia kerana sampai ke hari ini pun masih ada segelintir rakyat yang terus termakan propaganda sehingga sanggup secara berulang-ulang mengaitkan Najib dengan cerita tong simen.

“Jadi hari ini, jika ada sedikit maruah dan tanggungjawab moral, mohonlah maaf secara terbuka. Sebelum Najib ambil langkah seterusnya – menggunakan keputusan mahkamah ini sebagai asas untuk tindakan saman,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman gantung ke atas bekas pakar patologi tentera manakala dua lagi lelaki masing-masing dipenjara 35 dan 40 tahun kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemukan dalam tong dram konkrit pada 10 tahun lalu.

Bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 62, manakala pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandaran, 54, dipenjara 40 tahun dan S Nimalan, 32, dipenjara 35 tahun dan 12 sebatan.

Mahkamah sama turut memerintahkan tiga lagi lelaki iaitu R Dinishwaran, 33; A K Thinesh Kumar, 32; M Vishwanath, 35, dilepas dan dibebaskan serta-merta selepas mahkamah mendapati kekurangan bukti untuk mensabitkan pembabitan mereka dalam pembunuhan itu.

Sebelum ini, keenam-enam mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Eric berkata, ia bukan keputusan satu mahkamah semata-mata kerana ia melalui tiga peringkat kehakiman dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan hinggalah Mahkamah Persekutuan.

Ketiga-tiga mahkamah itu telah memutuskan mereka yang dituduh termasuk dalang utama, memang bersalah, ujar beliau.

“Dan sepanjang perbicaraan, nama Najib langsung tidak pernah disebut sebagai terlibat, apatah lagi bersalah?

“Hari ini, mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas dalang utama (mastrmind), manakala dua lagi pesalah masing-masing dipenjara 35 dan 40 tahun.

“Tamat. Tiada lagi ruang untuk spekulasi liar,” tegas beliau.

Eric menambah, walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis berkali-kali menegaskan bahawa Kevin Morais tidak pernah terlibat dalam siasatan kes SRC atau 1MDB kerana mendiang telah lama dipindahkan sebelum siasatan bermula.

Namun ada juga golongan yang tetap cipta fitnah dan ulang propaganda jahat untuk memburukkan Najib. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes Kevin Morais: Bekas pakar patologi tetap ke tali gantung, dua dipenjara dan tiga dilepas bebas

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast