Sebuah rumah teres dua tingkat dan lima kenderaan mewah hangus akibat dibakar empat individu di Bandar Tropicana Aman, Kuala Langat

KUALA LANGAT – Seorang pembantu guaman kerugian RM1.6 juta apabila rumah sewa dan lima kenderaan mewah miliknya dibakar empat individu tidak dikenali dalam kejadian di Bandar Tropicana Aman, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian jam 6.45 pagi itu daripada seorang individu yang membuat panggilan telefon menerusi MERS999.

“Mangsa telah mengalami kerugian lebih kurang RM1.6 juta iaitu kerosakan pada bahagian hadapan rumah termasuk lima kenderaan mewah milik suami dan isteri.

“Hasil siasatan awal dapati pemilik kenderaan seorang lelaki India Muslim dan semasa kejadian berlaku mangsa dan keluarganya tidak berada di rumah tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Akmalrizal juga memberitahu, insiden khianat itu dilakukan empat lelaki dipercayai kerana masalah peribadi.

“Punca kejadian dan perbuatan khianat itu masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Susulan kejadian itu, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Khianat Menggunakan Api).

“Undang-undang ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda atau keduanya sekali jika disabit kesalahan,” katanya.

Katanya lagi, pihak polis sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek yang terlibat.

“Pihak polis juga menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast