KUALA LUMPUR -Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mengalu-alukan siasatan inisiatif MyKiosk telah secara sukarela menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan pelaksanaan inisiatif projek itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 22 Mei lalu.
Menurutnya, tindakan ini mencerminkan komitmen KPKT terhadap prinsip integriti dan ketelusan.
“KPT mengalu-alukan siasatan SPRM berkaitan inisiatif MyKiosk sebagai langkah penting bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bebas daripada sebarang unsur rasuah.
“KPKT menegaskan tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak sekiranya terdapat elemen rasuah atau penyelewengan dalam proses perolehan atau pelaksanaan inisiatif ini di peringkat PBT,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambah KPKT, ia memperkukuh budaya integriti dalaman melalui pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan Sistem Lampu Isyarat (Traffic Light System) dan penubuhan Unit Integriti (UI) di setiap PBT bagi memantau dan menilai prestasi integriti serta membasmi amalan rasuah di peringkat PBT.
Jelasnya, inisiatif MyKiosk merupakan salah satu inisiatif di bawah KPKT yang bertujuan untuk memperkasakan ekonomi peniaga kecil. Kos siling bagi MyKiosk 2.0 yang ditetapkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan adalah RM25,000 setiap unit.
Semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk telah dilaksanakan oleh 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sebut harga terbuka.
Sebanyak 795 kontraktor MyKiosk telah dilantik oleh PBT masing-masing di seluruh negara dalam pembelian dan penempatan MyKiosk. – MalaysiaGazette















