Foto: Majlis Perbandaran Sepang

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Sepang (Mp Sepang) menyita sebuah lori kerana disyaki melakukan aktiviti pelupusan sampah haram di kawasan Dengkil, semalam.

Menurut satu kenyataan, operasi bersepadu yang dijalankan di dua lokasi yang dikenal pasti aktif dengan aktiviti pembuangan sampah haram dilakukan berikutan aduan berulang penduduk setempat serta hasil risikan Unit Kawalan Sampah Jabatan Penguatkuasa Mp Sepang.

Katanya, sitaan lori itu dilakukan apabila anggota yang menyertai operasi terbabit mengesan sebuah lori memasuki tapak pelupusan haram di belakang Taman Jed, Dengkil.

“Sitaan dan tangkapan berjaya dilaksanakan pada jam 2100 malam (9 malam),” katanya.

Operasi tersebut turut disertai anggota dari Pejabat Daerah dan Tanah Sepang serta agensi keselamatan berkaitan.

Menurut kenyataan itu, tindakan sitaan dan notis dikeluarkan di bawah kesalahan Peruntukan 13(1) Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan dan Pelupusan Sampah Sarap (Mp Sepang) 2007 kerana memasuki tempat pembuangan sampah tanpa kebenaran majlis.

Bagaimanapun, sebuah lagi lori dikesan melakukan aktiviti pelupusan sampah haram berjaya meloloskan diri semasa rondaan di Jalan Lombong, Revolusi Hijau, Dengkil.

“Pengejaran dilakukan namun kenderaan berjaya melarikan diri,” ujarnya.

Katanya, maklumat lanjut sedang dikumpul untuk tindakan susulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast