Aksi Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban bergambar bersama pengamal media selepas Program Menembak Ketua Pengarah Imigresen Bersama Rakan Media 2025 di Lapang Sasar Kelab Menembak Shapadu, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 04 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memandang serius isu melibatkan kumpulan militan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang menyusup masuk dan beroperasi secara rahsia di Malaysia.

Pihaknya menegaskan komitmen penuh untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanterasnya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, isu berkenaan kini dalam siasatan polis dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman keselamatan negara.

“Sebenarnya, perkara ini masih dalam tindakan pihak polis, jadi saya tidak mahu komen lebih lanjut buat masa ini. Namun begitu, kita memandang serius perkara ini dan JIM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan serta mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Menembak Ketua Pengarah Imigresen Bersama Rakan Media 2025 di Lapang Sasar Kelab Menembak Shapadu di Putrajaya hari ini.

Aksi Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban bercakap pada media Program Menembak Ketua Pengarah Imigresen Bersama Rakan Media 2025 di Lapang Sasar Kelab Menembak Shapadu, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 04 JULAI 2025.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, program santai seperti itu menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara agensinya dan pihak media sekali gus membantu kelancaran tugasan di lapangan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas kenyataan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung dakwaan pegawai imigresen tidak mematuhi prosedur kemasukan warga asing dari Afrika.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil jika terdapat pegawai yang terbabit dalam salah laku atau sindiket.

“Kita akan siasat lanjut perkara ini, sekiranya didapati ada pegawai kita yang melakukan salah laku atau terlibat dalam sindiket seperti ini, kita tidak akan berkompromi.

“Kita akan ambil tindakan tegas dan sewajarnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast