Pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri India, Narendra Modi di Sidang Kemuncak BRICS ke-17 yang berlangsung di Brazil.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan India sepakat untuk memperkukuh hubungan strategik dua hala dalam pelbagai sektor masa hadapan menerusi pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri India, Narendra Modi di Sidang Kemuncak BRICS ke-17 yang berlangsung di Brazil.

Anwar dalam kenyataan berkata, pertemuan singkat namun padat itu menyentuh pelbagai potensi kerjasama baharu termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan, teknologi digital dan pertahanan.

“Kami meneliti potensi besar untuk memperluas kerjasama strategik Malaysia dan India dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu dan industri aeroangkasa,” kata Anwar.

 

Beliau turut mengalu-alukan minat syarikat-syarikat India untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia, khususnya dalam sektor masa hadapan serta menekankan komitmen memperkukuh hubungan antara rakyat melalui pelancongan, pendidikan dan kebudayaan.

“Salah satu inisiatif yang dibincangkan ialah cadangan penubuhan kampus Institut Teknologi India (IIT) di Malaysia yang bakal memperkaya ekosistem pendidikan tinggi negara,” tambah beliau.

Kedua-dua pemimpin turut menyuarakan sokongan terhadap keamanan dan kestabilan serantau serta penyelesaian adil dan aman terhadap isu antarabangsa seperti Palestin dan Jammu-Kashmir.

Selain itu, Anwar dalam pada itu menyatakan Malaysia menyambut baik usaha memperkukuh hubungan ASEAN–India menjelang Sidang Kemuncak ASEAN–India Oktober ini.

Sementara itu, Narendra Modi dalam catatan di Facebook rasmi beliau menyifatkan pertemuan tersebut sebagai sangat baik dan bermakna.

“Malaysia adalah rakan penting bagi India dan mempunyai kedudukan utama dalam Visi MAHASAGAR dan Dasar Act East kami,” tulis Modi.

Beliau turut menyentuh perkembangan positif dalam hubungan dua hala sejak lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar ke India tahun lalu.

“Kami meneliti kemajuan dalam hubungan dua hala, termasuk sektor masa hadapan seperti teknologi maklumat, tenaga boleh baharu dan infrastruktur yang menunjukkan pertumbuhan kukuh,” katanya.

Modi turut menegaskan komitmen India untuk mempertingkatkan lagi hubungan pelaburan dan perdagangan bersama Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast