KUALA LUMPUR – Pelajar berkeperluan pendidikan khas yang mengalami ketidakupayaan penglihatan kini berpeluang mempelajari ilmu astronomi melalui pelancaran Modul Astronomi khas yang berlangsung di Planetarium Negara hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, modul tersebut merupakan hasil kerjasama strategik Planetarium Negara dan sektor swasta termasuk penaja utama, Hibiscus Petroleum Berhad.
“Seperti yang kita semua sedia maklum, hari ini adalah pelancaran modul astronomi untuk murid-murid yang ketidakupayaan penglihatan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran itu di sini hari ini.
Menurut Lih Kang, inisiatif itu sebagai satu langkah penting untuk membuka ruang dan peluang kepada murid yang cacat penglihatan agar tidak ketinggalan dalam bidang sains khususnya astronomi.
“Saya sendiri melihat ini sebagai satu inisiatif yang sangat bagus dan kita harap ada lebih banyak lagi inisiatif seperti ini yang akan membantu anak-anak kita yang mungkin ada kecacatan dari segi fizikal.
“Hal ini kerana mereka selalunya tidak mendapat peluang seperti anak-anak biasa untuk menuntut ilmu khususnya dalam bidang astronomi ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan pelaksanaan modul itu dapat memberikan kesan besar kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas yang selama ini mungkin terpinggir daripada akses ilmu yang setara.
“Dengan adanya modul ini, sekurang-kurangnya murid-murid yang buta, yang tidak dapat melihat juga berpeluang untuk mempelajari ilmu astronomi.
“Saya harap selepas ini akan ada lagi inisiatif lain untuk membantu anak-anak kelainan upaya dari segi pendengaran atau kecacatan lain,” ujarnya.
Lih Kang juga menekankan keperluan menyediakan sistem pendidikan yang lebih inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
“Kita sebagai kerajaan harus cuba sedaya upaya sebaik mungkin untuk membolehkan semua rakyat mendapat peluang yang saksama untuk belajar. Ini bukan saja dalam bidang astronomi tetapi juga dalam bidang-bidang yang lain,” katanya.
Pelancaran modul itu turut dilihat seiring dengan misi MOSTI untuk meluaskan capaian ilmu sains dan teknologi kepada kumpulan yang sering terpinggir daripada arus perdana pendidikan. – MalaysiaGazette
















