Mohd Syes Mohamed

JOHOR BAHRU – Pergerakan Pemuda UMNO Johor menyifatkan pendirian Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor berkenaan dasar sistem percukaian negara sebagai kabur dan tidak konsisten.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, Mohd Syes Mohamed berkata, sekiranya tidak bersetuju Armada Johor perlu memberi cadangan satu bentuk cukai yang sesuai dan efisien untuk dilaksanakan.

“Semasa cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, mereka tolak. Bila cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperkenalkan, mereka juga tentang.

“Jadi sistem cukai apa yang mereka mahu? Sekadar menolak tanpa alternatif bukan solusi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Armada Johor yang menolak dan meremehkan perluasan serta sistem SST sebelum ini.

Mohd Syes berkata, pendirian Armada Johor itu kabur berkenaan dasar cukai dan mereka tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

Dalam pada itu, beliau berkata, semasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi kerajaan negeri pada 2019, ada dasar yang membebankan rakyat.

“Semasa Bersatu menerajui Johor cukai tanah generasi kedua Felda dinaikkan mendadak daripada RM1 per meter persegi kepada RM1 setiap kaki persegi.

“Bagi projek Program Pembangunan Peneroka (PPP) Felda membela arnab yang terkandung dalam Kertas Putih Felda oleh menteri daripada Bersatu gagal memberi hasil dan membebankan peneroka termasuk di Johor,” dakwanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast