KUANTAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menimbulkan persoalan ke mana perginya hasil lebih RM30 bilion daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sejak ia dilaksanakan.
Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Bera, Al-Amin Mustafar mempersoalkan sama ada kenaikkan cukai tesebut sekali gus dizahirkan menerusi suara rakyat atau retorik kuasa pemerintahan semasa.
“Kami bukan menolak keperluan hasil negara, tetapi menolak kenaikan dan pelaksanaan SST yang membabi buta tanpa mekanisme perlindungan rakyat.
“Adakah ia benar-benar digunakan untuk manfaat rakyat secara telus, atau sedang ditelan ketirisan, ketidaktentuan dasar, dan projek-projek yang tidak memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan PKR Cabang Bera yang cuba memperlekehkan desakan Bersatu agar kerajaan menilai semula dan menghapuskan SST yang jelas membebankan rakyat ketika ini.
“Keadilan Cabang Bera nampaknya lebih ghairah mempertahankan cukai daripada membela nasib rakyat B40 dan M40 yang kini tersepit dengan kos sara hidup yang semakin menekan.
“Apabila harga barang keperluan asas meningkat, bil-bil perkhidmatan melonjak, dan pendapatan rakyat tidak bertambah adalah tanggungjawab mana-mana parti politik yang prihatin untuk bersuara bagi pihak rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ujarnya, Bersatu konsisten ketika dalam kerajaan dahulu dengan tidak menaikkan SST, sebaliknya memperkenalkan bantuan seperti PRIHATIN, i-Sinar, dan moratorium automatik semasa krisis.
“Hari ini, kerajaan Madani naikkan cukai, potong subsidi, dan beri alasan fiskal sambil membazir jutaan ringgit untuk kempen dan pelantikan politik.Kami mencabar Keadilan untuk buka semua data agihan hasil SST secara telus, biar rakyat sendiri menilai.
“Bersatu tidak bercakap kosong. Kami mencadangkan alternatif seperti penstrukturan semula perbelanjaan, pemotongan ketirisan perolehan kerajaan, serta reformasi fiskal jangka panjang yang tidak menekan golongan miskin,
“Rakyat sedang susah. Jangan sembunyi di balik istilah ‘waras dan mampan’ untuk menghalalkan beban yang ditanggung oleh rakyat biasa,” tambahnya. – MalaysiaGazette















