JOHOR BAHRU – Menjadikan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor sebagai hujah untuk menyerang kerajaan adalah tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati baginda sebagai payung negeri.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai, Faezuddin Puad menegaskan, institusi diraja tidak wajar dijadikan alat politik oleh mana-mana pihak.
Pendirian itu penting bagi menjamin institusi raja kekal dihormati, bebas daripada permainan politik dan terus menjadi lambang perpaduan serta kestabilan rakyat Johor.
“Tafsiran Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor terhadap Tunku Mahkota Johor sebagai tanda kegagalan pentadbiran kerajaan adalah sempit dan tidak bertanggungjawab.
“Ia tidak mencerminkan semangat sebenar titah baginda yang bersifat umum dan menyentuh keperluan asas rakyat secara menyeluruh.
“Ia sepatutnya dilihat sebagai tanda kasih dan keprihatinan baginda kepada rakyat Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Faezuddin berkata, titah baginda juga perlu dilihat sebagai seruan untuk memperbaiki mutu pentadbiran secara menyeluruh tanpa menuding jari atau mengambil kesempatan mendapatkan mileage politik.
Semalam, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah dan menyentuh berkenaan bekalan air, gaji minimum serta perkembangan terkini Hospital Pasir Gudang.
Baginda bertitah, Johor mensasarkan beberapa pembinaan infrastruktur air mentah yang mampu menampung keperluan air di seluruh negeri.
Bagi gaji minimum pula, Tunku Mahkota Ismail menasihatkan pelabur atau syarikat terlibat bersedia menawarkan gaji minima RM4,000 bagi graduan lepasan universiti di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Sementara Hospital Pasir Gudang pula, baginda mahu supaya segera menempatkan petugas kesihatan sebelum hospital itu beroperasi pada Ogos ini.
Hari ini, Alias menyifatkan titah tersebut sebagai satu teguran kepada kerajaan yang semakin selesa di tampuk kuasa dan gagal mengurus kebajikan rakyat.
Alias mendakwa, titah itu juga merupakan cerminan suara hati rakyat Johor yang telah lama menanggung kelemahan urus tadbir negeri serta kegagalan menyuarakan kepentingan Johor di peringkat Persekutuan. – MalaysiaGazete
















