MELAKA – “Minggu lepas, suami ada cakap mahu mati syahid, tak sangka pula dia betul-betul pergi ketika dalam perjalanan menolong kawannya yang sakit.
“Lebih menyedihkan, arwah juga tidak sempat melihat jantina anak kedua kami dalam kandungan yang baru berusia lima bulan,”.
Itu luahan hiba Nur Farah Aisyah Johari, 25, setelah kehilangan suaminya, anggota tentera berpangkat koperal, Muhammad Haqimy Mohd Amin, 26, yang meninggal dunia selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta yang sedang membelok di Jalan Tangga Batu, malam tadi.
Menurut suri rumah itu, dia mengetahui kejadian daripada abang iparnya ketika menunggu arwah yang bekerja di di Kem Terendak pulang selepas menolong rakannya yang sakit malam tadi.
“Abang ipar tiba-tiba telefon maklumkan suami kemalangan dan meninggal dunia di lokasi menyebabkan saya meraung kerana sukar menerima kenyataan itu.
“Baru minggu lepas, dia cakap mahu mati syahid seperti perang di Palestin dan tidak sangka saya betul-betul kehilangannya,” katanya hiba ketika ditemui MalaysiaGazette di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka hari ini.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu suami adalah pagi semalam sebelum arwah keluar untuk menolong rakannya yang sakit.
“Masa keluar, dia cakap balik lambat sikit sebab nak tolong kawan sakit dan sempatlah peluk cium seperti biasa tak sangka pula itulah pertemuan terakhir kami.
“Malah, sepatutnya kami merancang ke klinik untuk ‘scan’ melihat jantina anak dalam kandungan saya yang sudah berusia lima bulan,” katanya hiba sambil memeluk anak sulung, Aneesa Qairina, 5.

Pagi ini, MalaysiaGazette melaporkan dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa Muhammad Haqimy disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di muka dan kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menuju Tangga Batu.
Sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta jenis Proton Gen 2 dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah bertentangan membelok ke kanan menyebabkan anggota tentera itu tidak sempat mengelak dan merempuhnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian. – MalaysiaGazette
















