Tertuduh, See Yong Fei, 36, dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah memukul isterinya hingga parah, tahun lalu.

MELAKA – Seorang kontraktor dipenjara sehari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah memukul isterinya hingga parah tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membuat keputusan itu selepas tertuduh, See Yong Fei, 36, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap isterinya berusia 39 tahun cedera parah.

Perbuatan itu adalah dengan cara memukul dan menumbuk bahagian muka dan tangan serta menendang bahagian belakang badan menyebabkan patah beberapa bahagian anggota badan.

Perbuatan itu dilakukan di Taman Desa Bertam dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11.28 malam 7 Mei 2024.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak memukul isterinya kerana berang dengan tindakan wanita itu keluar rumah tanpa izinnya ke pasar dan melarang mangsa bergaul dengan orang lain.

Setibanya di rumah, mangsa telah dipukul dan ditendang menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan parah pada bahagian muka serta badan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kecederaan mangsa.

Peguam, Kelvinder Singh Sidhu yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman penjara dan denda minimum dengan alasan anak guamnya menyara lima anak yang masih kecil dan bekerja sebagai kontraktor dengan pendapatan RM3,000 sebulan.

Peguam,Kent Tan Chow Teng turut hadir pada prosiding berkenaan selaku peguam pemerhati bagi pihak mangsa.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula tarikh sabitan 11 Julai 2025 dan denda RM6,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.

MalaysiaGazette pada 13 Jun tahun lalu melaporkan tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Difahamkan, tindakan itu dilakukan kerana mangsa yang merupakan kekasihnya dan tinggal bersama ketika itu keluar rumah untuk membeli sayur walaupun tidak diizinkan tertuduh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast