Penduduk gigih membawa guni tepung berjalan di sepanjang jalan al-Rashid, Jabalia selepas trak bantuan kemanusiaan dilaporkan memasuki utara Semenanjung Gaza melalui lintasan sempadan Zikim, di tengah-tengah perang berterusan antara Israel dan Hamas pada 17 Jun 2025. Foto AFP.

 

GAZ – Hospital Nasser di selatan Gaza melaporkan 24 orang terbunuh berhampiran tapak agihan bantuan pada hari Sabtu.

Penduduk Palestin yang berada di lokasi mendakwa tentera Israel melepaskan tembakan ketika orang ramai cuba mendapatkan makanan.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pula menyatakan tiada individu yang diketahui cedera akibat tembakan IDF berhampiran kawasan tersebut.

Seorang pegawai tentera Israel berkata, tembakan amaran dilepaskan bagi menyuraikan orang ramai yang dianggap sebagai ancaman.

Seorang lelaki mendakwa orang ramai ditembak selama lima minit ketika menunggu bantuan.

Seorang paramedik menuduh tentera Israel melakukan pembunuhan kejam secara sengaja kerana ada mangsa ditembak di kepala dan dada

Kematian akibat tembakan ketika mencari makanan telah menjadi kejadian biasa di Gaza.

Israel mengenakan sekatan sepenuhnya ke atas penghantaran bantuan ke Gaza pada Mac lalu, dan menyambung semula operasi ketenteraan terhadap Hamas, sekali gus menamatkan gencatan senjata selama dua bulan. Israel menyatakan tindakan itu bertujuan memberi tekanan kepada Hamas agar membebaskan tebusan Israel.

Walaupun sekatan mula dilonggarkan pada akhir Mei selepas amaran kebuluran dikeluarkan, Gaza masih berdepan kekurangan makanan, ubat-ubatan, dan bahan api yang serius.

Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), melaporkan ribuan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan di seluruh Gaza, dengan jumlah kes meningkat setiap hari.

Sebagai tambahan kepada penghantaran bantuan oleh PBB, Israel dan Amerika Syarikat telah menubuhkan sistem agihan bantuan baharu yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF), dengan alasan untuk mengelakkan bantuan dicuri oleh Hamas.

Pada Jumaat, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menyatakan sebanyak 798 kematian berkaitan bantuan telah direkodkan, termasuk 615 berhampiran lokasi GHF yang dikendalikan oleh kontraktor keselamatan swasta Amerika Syarikat S dan terletak dalam zon tentera di Gaza selatan dan tengah.

Sebanyak 183 lagi kematian berlaku berhampiran konvoi bantuan PBB dan lain-lain.

Tentera Israel mengakui terdapat insiden yang mengakibatkan kematian orang awam dan menyatakan usaha sedang dilakukan untuk mengurangkan “pergeseran antara penduduk dan tentera” sebanyak mungkin.

GHF menuduh PBB menggunakan statistik yang “palsu dan mengelirukan” dari kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.

Awal bulan ini, bekas kontraktor keselamatan GHF mendedahkan beliau menyaksikan rakan sekerja melepaskan tembakan beberapa kali ke arah warga Palestin yang lapar dan tidak menimbulkan ancaman.

Namun, GHF menafikan dakwaan itu sepenuhnya.

Israel melancarkan serangan ketenteraan ke atas Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan lintas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menyebabkan 251 dijadikan tebusan.

Menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas, sekurang-kurangnya 57,823 orang telah terbunuh di Gaza sejak itu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast