SYDNE – Seorang backpacker (pengembara) dari Jerman ditemukan selamat selepas hilang hampir dua minggu di pedalaman Australia Barat dan hanya bergantung kepada air lopak dan berlindung dalam gua.
Carolina Wilga, 26 tahun, yang diselamatkan pada hari Jumaat mengalami keletihan, dehidrasi, “gigitan serangga yang teruk”, serta kecederaan pada kaki, kata polis.
Pihak berkuasa memaklumkan, Wilga berjalan sejauh 24 kilometer dari van miliknya dalam keadaan “keliru dan bingung” selepas kenderaan itu tersangkut di kawasan semak dan terpencil.
Polis berkata, Wilga percaya dia tidak akan ditemui, namun keluarganya kini berasa lega dan bersyukur atas penemuan wanita ini.
“Dia mengharungi 11 malam dengan terdedah kepada cuaca ekstrem, bertahan dengan bekalan makanan yang sangat sedikit dan minum air hujan serta air lopak,” menurut kenyataan Polis Australia Barat.
Wilga ditemui oleh seorang pemandu dan kemudiannya diterbangkan ke hospital di Perth.
Pemandu berkenaan, Tania Henley memberitahu, dia melihat Wilga melambai di tepi jalan dan kelihatan dalam keadaan “sangat lemah”.
“Segala-galanya di dalam semak ini sangat berduri. Saya benar-benar tidak percaya dia masih hidup. Dia tidak memakai kasut, hanya membalut kakinya,” kata Henley.
Kali terakhir Wilga dilihat adalah pada 29 Jun lalu di sebuah kedai runcit di bandar Beacon, Australia Barat, dalam vannya.
Polis menemui van yang ditinggalkan itu pada Khamis di kawasan semak tebal di utara Beacon.
Menurut Securo, Wilga dipercayai hilang kawalan terhadap vannya yang kemudiannya rosak dan tidak dapat bergerak. – Agensi
















