Foto FB Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Menang atau kalah, manis dan pahit adalah adat pertandingan yang pasti dirasai setiap olahragawan, titah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Raja Permaisuri Agong bertitah sebagai ibu, Seri Paduka Baginda tetap akan memberi sokongan dan mendoakan semoga paduka anakanda mencapai kejayaan serta bersaing dengan selamat.

“Begitu juga saya titipkan kepada semua atlet negara, tanpa mengira bidang sukannya, semoga terus bersemangat dan memberikan yang terbaik dalam usaha bersaing mengharumkan nama negara kita.

“Semuanya kita serah kepada Allah SWT dan  jangan lupa bahawa semua yang berlaku, rezeki atau sebaliknya, adalah kurniaan Allah SWT,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurut catatan itu, Raja Zarith Sofiah kini berada di Jepun meraikan kemenangan sambil memberi pujukan untuk dua anakanda Seri Paduka Baginda yang mengalami nasib berbeza dalam perlumbaan kedua pusingan Litar Fuji Speedway bagi siri GT World Challenge Asia, hari ini.

Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman meneruskan prestasi cemerlang dengan kemenangan bergaya mendahului dari mula hingga akhir bersama Ben Green dalam jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R #99.

Sementara itu, nasib kurang baik bagi Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar dan Jordan Love (jentera #66) apabila kehilangan tempat ketiga di selekoh terakhir selepas dilanggar oleh pelumba lain dan tidak dapat menghabiskan perlumbaan.

Kedua-dua jentera Corvette Z06 GT3.R pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) itu memulakan perlumbaan kedua hari ini di barisan hadapan selepas menyambar petak pertama bagi jentera #99 dan kedua (jentera #66) pada pusingan kelayakan semalam.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast