KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan jika benar dakwaan di dalam petikan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular, ia adalah salah guna kuasa dan campur tangan dalam badan kehakiman yang serius.
Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa dakwaan tersebut disiasat dan tindakan pembetulan diambil dalam proses pelantikan hakim-hakim supaya rakyat terus yakin terhadap badan kehakiman sebagai penegak keadilan.
Lebih membimbangkan, katanya, dakwaan itu juga berkait rapat dengan masalah yang lebih besar iaitu dakwaan campur tangan badan eksekutif dalam pelantikan hakim-hakim membabitkan Perdana Menteri yang mempunyai kepentingan dalam satu kes mahkamah yang serius.
Ujarnya, ia membangkitkan suatu kebimbangan yang munasabah bahawa Perdana Menteri juga tidak akan meletakkan integriti sebagai pertimbangan utama dalam pelantikan hakim.
“Pertimbangan kepentingan peribadi berkemungkinan besar akan mengatasi faktor integriti. Apatah lagi jika hakim yang didakwa terbabit dengan masalah integriti dilantik ke jawatan yang lebih tinggi dalam badan kehakiman.
“Saya bimbang sekiranya integriti tidak lagi menjadi asas pertimbangan yang penting dalam pelantikan hakim-hakim, keadilan boleh dijual beli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa berlangsung pada Mei lalu tersebar di media sosial sejak kelmarin dipercayai bermula dari laman Reddit sebelum tersebar di Facebook dan aplikaksi X.
Susulan itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat kesahihan dokumen minit mesyuarat JAC tersebut dan sekiranya disahkan sahih dan diklasifikasikan sebagai rahsia, penyiaran atau pengedarannya boleh membawa implikasi undang-undang, khususnya di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, dakwaan menerusi minit mesyuarat JAC yang tular tersebut sekiranya benar juga boleh menyebabkan hak dan kebebasan seseorang untuk mendapatkan keadilan di mahkamah terjejas.
Ia tambah beliau, disebabkan timbul persoalan bagaimana seorang individu boleh mendapat jaminan keadilan bagi dirinya jika penghakiman sesuatu kes boleh dipengaruhi oleh pihak yang berkuasa.
“Kedudukan badan kehakiman sebagai benteng terakhir seorang individu untuk mendapatkan keadilan bagi dirinya akan terhakis.
“Sekiranya dakwaan ini benar, pelantikan hakim tersebut juga adalah bercanggah dengan Seksyen 23(2)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 mengenai integriti hakim,” katanya.
Sehubungan itu, Muhyiddin mengulangi gesaan beberapa pihak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan susulan kontroversi proses lantikan hakim tersebut.
Menerusi tindakan itu, jelasnya, barulah sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bebas dapat ditubuhkan untuk menyiasat sebarang salah laku dan ketidakpatuhan undang-undang dalam pelantikan hakim.
“Pelantikan hakim-hakim juga tidak lagi dikaitkan dengan kepentingan peribadi Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette















