Telur ayam. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekalan ayam di pasaran kekal stabil dan mencukupi meskipun kadar subsidi dikurangkan lima sen sejak 1 Mei lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia membuktikan pengurangan subsidi tersebut tidak menjejaskan bekalan telur ayam.

“Ini membuktikan bahawa langkah pengurangan subsidi yang dilaksanakan kerajaan tidak menjejaskan rantaian bekalan telur ayam, malah menunjukkan keupayaan sistem pengeluaran tempatan yang semakin mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan kawalan harga telur ayam akan ditamatkan termasuk pengurangan kadar subsidi daripada 10 sen kepada lima sen sebiji sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin.

Selain itu, ia turut mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi terlalu lama yang dilihat tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan dan kewangan negara.

Kerajaan juga pernah memberi jaminan memantau bekalan telur ayam selepas mengurangkan kadar subsidi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast