KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah menolak kemasukan 131 warga asing di Terminal 1 kerana didapati gagal memenuhi syarat kemasukan negara, di sini, pada Jumaat lepas.
Dalam operasi yang dijalankan dari jam 3 petang hingga 10 malam itu, lebih 300 warganegara asing telah diperiksa di Balai Ketibaan Antarabangsa dan Pintu Perlepasan C1 hingga C37.
Daripada jumlah itu, 96 lelaki dari Bangladesh, 30 lelaki dari Pakistan, serta lima warga Indonesia yang merangkumi empat lelaki dan seorang wanita didapati tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.
Keseluruhan operasi berjalan dalam keadaan terkawal dan profesional.
AKPS berkata, antara pelanggaran yang dikenal pasti termasuklah tempahan penginapan yang meragukan, kegagalan melapor diri di kaunter imigresen, dan membawa wang sara diri yang tidak mencukupi.
“Isu kewangan ini adalah penunjuk utama niat sebenar pelawat. Sebagai contoh, ada yang mendakwa ingin tinggal selama sebulan tetapi hanya membawa wang sekitar RM500, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap tujuan mereka.
“Ini selaras dengan prinsip imigresen antarabangsa, di mana pelawat mesti membuktikan mereka tidak akan menjadi beban kepada negara yang dikunjungi,” ujarnya
AKPS KLIA menegaskan, keselamatan dan kedaulatan sempadan negara akan terus menjadi keutamaan. Sebarang percubaan untuk masuk ke negara ini melalui pemalsuan dokumen atau tujuan yang meragukan akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
Justeru, semua pelawat asing dinasihatkan agar memastikan dokumen perjalanan, perancangan penginapan serta sumber kewangan mereka adalah lengkap, tulen dan munasabah sebelum tiba di Malaysia. – MalaysiaGazette
















