NAIROBI – Presiden Cameroon, Paul Biya, yang kini berusia 92 tahun dan merupakan ketua negara tertua di dunia, mengumumkan hasratnya untuk bertanding semula dalam pilihan raya Oktober ini.
Pengumuman beliau menyaksikan Biya mahu melanjutkan pemerintahannya yang telah bertahan selama 43 tahun.
“Yakinlah bahawa tekad saya untuk terus berkhidmat kepada anda setanding dengan cabaran yang sedang kita hadapi,” katanya dalam satu hantaran di X.
Menurut Biya, keputusan untuk bertanding bagi penggal kelapan itu dibuat selepas menerima “desakan dan rayuan berterusan” daripada rakyat dari seluruh wilayah Cameroon serta diaspora.
Pemerintahan Biya telah lama dikritik kerana isu rasuah, penyelewengan dana, tadbir urus yang lemah serta kegagalan menangani cabaran keselamatan.
Keadaan kesihatannya dan keupayaannya untuk mentadbir juga sering menjadi tanda tanyaterutama selepas beliau tidak muncul di khalayak awam selama lebih enam minggu tahun lalu, mencetuskan spekulasi dan khabar angin beliau telah meninggal dunia.
Walaupun pencalonannya telah lama dijangka, pengesahan rasmi hanya dibuat melalui hantaran media sosial pada Ahad.
Jika Biya menang lagi, beliau boleh kekal sebagai presiden sehingga hampir mencecah usia 100 tahun.
Sejak mula memegang jawatan pada 1982, beliau tidak pernah kalah dalam mana-mana pilihan raya.
Pada 2008, beliau memansuhkan had penggal presiden, membolehkan dirinya bertanding tanpa had masa.
Namun, kali ini Biya berdepan cabaran lebih besar apabila beberapa sekutu politik dari kawasan utara yang sebelum ini menjadi tulang belakangnya telah meninggalkan parti pemerintah.
Dua tokoh utama, Menteri kanan Issa Tchiroma Bakary dan bekas Perdana Menteri Bello Bouba Maigari, bukan sahaja keluar dari gabungan, malah telah mengumumkan pencalonan masing-masing.
Tchiroma sebelum ini menyatakan pentadbiran Biya telah “menghancurkan kepercayaan awam”, dan beliau kini menyertai parti lawan.
Beberapa tokoh pembangkang utama termasuk Maurice Kamto (naib juara 2018), Joshua Osih, Akere Muna dan Cabral Libii turut mengesahkan akan bertanding. – Agensi
















