Empat pelajar Orang Asli cemerlang menerima Anugerah Khas Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA SPM dan STPM Tahun 2024, di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.

KUANTAN – Dibesarkan ibu tunggal sejak kecil, gadis Orang Asli daripada Suku Jakun, Roziana a/p Tan Beng Hai, 20 berjaya membuktikan ia bukan penghalang untuk cemerlang dalam pelajaran.

Hasil kesungguhan dan keazamannya, Roziana berjaya memperoleh keputusan 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Tahun 2024 dan merupakan penerima  Anugerah Khas Pelajar Cemerlang Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) hari ini.

“Mak saya ibu tunggal dan merupakan pekerja ladang. Saya belajar bersungguh-sungguh supaya dapat balas jasa mak yang membesarkan saya sejak kecil.

“Saya nak beri kepadanya sesuatu untuk dibanggakan dan tidak sia-sia dia besarkan saya,” katanya.

Roziana a/p Tan Beng Hai menunjukkan anugerah diterimanya dalam Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA SPM dan STPM Tahun 2024, di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.

Roziana berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA SPM dan STPM Tahun 2024, di Hotel Grand Darul Makmur, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAKOA, Zamri Mustahak dan turut dihadiri Ahli Dewan Negara, Senator Manolan Mohamad bersama Senator Shahrol Wizan Sulong.

Menurut Roziana, dia merupakan individu pertama dari Kampung Mentelung, Rompin yang berjaya melanjutkan pelajaran dalam STPM.

Lebih manis, anak kedua daripada dua beradik ini memberitahu sudah menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke The University of Manchester di United Kingdom dalam pengkhususan Ekonomi dan Pengajian Sosial.

“Kalau ada peluang, saya memang nak sambung ke luar negara dalam bidang ekonomi sebab saya dah ada offer letter. Cuma nak tunggu unconditional offer letter dan biasiswa pula.

“Cita-cita saya nak jadi pegawai ekonomi sebab saya sangat minat ekonomi. Jadi, saya akan cari peluang dalam masa sama untuk meningkatkan ekonomi bangsa saya,” tambahnya.

Sementara itu, Siti Nur Hawani Muhammad Almi, 18 pula menerima Anugerah Khas Pelajar Cemerlang JAKOA selepas memperoleh keputusan 9A bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024.

Gadis dari suku Semelai ini memberitahu, dia berusaha gigih keluar daripada zon selesa agar dapat mendorong dirinya memperoleh keputusan terbaik dalam peperiksaan itu.

“Selain pihak sekolah yang membuat pelbagai kelas dan inisiatif seperti program speed test yang membantu murid-murid dapat score dalam SPM, saya sendiri akan bangun seawal jam 5 pagi untuk ulangkaji dan menghafal.

“Setiap malam pula saya buat soalan Matematik. Kena push juga diri. Kena keluar daripada zon selesa,” katanya ketika ditemui.

Siti Nur Hawani Muhammad Almi

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia akan menyambung pelajaran dalam Pendidikan Islam di Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Datuk Razali Ismail di Kuala Terengganu pada 11 Ogos depan.

Siti Nor Hawani berkata, guru-guru di sekolah menjadi inspirasi baginya untuk turut menjadi seorang pendidik pada masa hadapan.

Roziana dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Gemok, Rompin dan Siti Nor Hawani dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Hasanah, Rompin merupakan antara empat penerima Anugerah Khas Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA SPM dan STPM Tahun 2024 hari ini.

Dua lagi ialah penerima Anugerah Khas bagi SPM 2024 iaitu Nurul Ain Syuhada Afizan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Azlan Shah, Perak dan Grace Emily a/p Julija dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mersing, Johor, masing-masing meraih keputusan 9A.

Sebagai rekod, seramai 116 orang murid Orang Asli yang meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM Tahun 2024 dan 33 orang cemerlang dalam STPM Tahun 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast