TOKYO – Syarikat kereta gergasi Nissan yang sedang bergelut dengan krisis kewangan akan menghentikan pengeluaran di kilangnya di Oppama, Jepun pada penghujung tahun fiskal 2027.
Nissan mencatatkan kerugian bersih sebanyak 671 bilion yen (AS$4.5 bilion) tahun lepas berkata, ia akan mengurangkan 15 peratus daripada tenaga kerja globalnya.
“Syarikat akan menghentikan pengeluaran kenderaan di kilang Oppama pada akhir tahun fiskal 2027,” kata Nissan dalam satu kenyataan.
Pengeluaran kilang di luar Yokahama akan dipindahkan ke kilang lain yang sedia ada di Pulau Kyushu di selatan Jepun, katanya.
Salah satu daripada enam kilang domestik Nissan, Oppama menggaji kira-kira 3,900 orang setakat Oktober 2024 dan mula beroperasi pada 1961, menurut laman web syarikat itu.
Ia adalah “perintis dalam pengeluaran kenderaan canggih, seperti Nissan LEAF, kenderaan elektrik pasaran besar-besaran pertama di dunia.
Nissan yang berdepan dengan hutang sebelum ini dicadangkan bergabung dengan pesaingnya, Honda telah mengurangkan pengeluaran sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan perniagaannya yang tinggi.
Pada bulan Mei lalu, Nissan berkata, ia akan “menggabungkan kilang pengeluaran kenderaannya daripada 17 kepada 10 menjelang tahun fiskal 2027.
Seperti kebanyakan pengeluar kenderaan, Nissan mendapati sukar untuk bersaing dengan jenama kenderaan elektrik China.
Penggabungan dengan Honda telah dilihat sebagai talian hayat yang berpotensi tetapi perbincangan gagal pada Februari apabila Nissan dicadangkan dijadian anak syarikat.
Nissan telah menghadapi banyak masalah dalam beberapa tahun kebelakangan ini — termasuk penahanan bekas pemimpin pengurusannya, Carlos Ghosn pada 2018, yang kemudiannya melarikan diri dari Jepun secara bersembunyi di dalam kotak peralatan audio.
Agensi penarafan telah menurunkan taraf firma itu kepada ‘sampah’, dengan Moody’s memetik “keuntungan yang lemah” dan “portfolio model penuaan”.
Nissan telah menangguhkan rancangan untuk membina loji bateri bernilai AS$1 bilion di selatan Jepun kerana “persekitaran perniagaan” yang sukar.
Daripada pengeluar kereta utama Jepun, Nissan dilihat paling terdedah kepada tarif 25 peratus oleh Presiden Donald Trump yang dikenakan ke atas kenderaan import Jepun awal tahun ini.
Ini kerana pelanggan lebih sensitif harga berbanding pesaingnya, menurut pakar.
Satu penyelesaian yang berpotensi untuk Nissan ialah firma gergasi elektronik Taiwan – Hon Hai, lebih dikenali sebagai Foxconn, yang memasang iPhone dan berkembang kepada kereta.
Foxconn berkata pada Februari ia terbuka untuk membeli pegangan Renault dalam Nissan. – Agensi
















