KUALA LUMPUR – Anak sulung mangsa tragedi Sungai Korok, Putri Qisya Mohamad Azim disahkan layak menerima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hasil caruman allahyarham bapanya.
Hasil semakan dan penelitian PERKESO, bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 31, yang menjadi antara korban dalam nahas berkenaan merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dengan rekod pekerjaan terakhir sebagai pengawal keselamatan.
“Menerusi caruman itu waris yang merupakan anak sulung, Putri Qisya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta Pencen Penakat bulanan berjumlah RM576.25 sehingga berusia 21 tahun atau hingga tamat ijazah pertama.
“PERKESO menzahirkan rasa simpati dan dukacita yang mendalam atas kejadian menyayat hati ini dan kekal komited untuk memastikan kebajikan waris mangsa terus terpelihara,” kata PERKESO dalam kenyataan hari ini.
Justeru bantuan tambahan termasuk intervensi pendidikan, penjagaan emosi dan psikososial sedang diperinci menerusi Program Sinergi Sosial demi memastikan anak sulung arwah mendapat sokongan jangka panjang sewajarnya.
Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong ketika hadir merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan MYFutureJobs anjuran PERKESO di Kompleks Penjara Seberang Perai pada 10 Julai lalu berkata, semakan caruman mangsa nahas Sungai Korok akan segera dilaksanakan untuk menyalurkan bantuan yang berhak kepada waris.

Biar pun malang tidak berbau, tragedi itu menjadi bukti nyata mengenai peri penting sistem perlindungan sosial seperti disediakan PERKESO yang bukan sekadar berperanan sebagai perlindungan kewangan, tetapi benteng terakhir buat keluarga pekerja andai berdepan situasi luar jangka.
Dalam kejadian baru-baru ini, kereta Proton Iswara yang dinaiki ibu bapa Putri Qisya bersama empat adiknya dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Korok di Kampung Kemboja dekat Jitra, Kedah.
Ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat adik beradik, iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan ditemukan maut dalam kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette















