Persekitaran pendaftaran pelajar baharu UPM Sarawak.

 

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan peningkatan 19 peratus pelajar baharu sesi akademik 2025/2026 seramai 1,291 pelajar berbanding 1,086 pada tahun lalu di dua buah kampusnya di Serdang, Selangor dan Bintulu, Sarawak dengan menerima.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, daripada jumlah itu, 902 pelajar mendaftar Program Asasi Pertanian (ASPer) di Kolej Tan Sri Aishah Ghani, kampus UPM Serdang dan 389 pelajar mendaftar program diploma dan persediaan diploma sains di UPM Sarawak (UPMS).

“Pelajar ASPer meningkat sebanyak 17 peratus berbanding 768 pelajar pada tahun lalu dan pelajar di UPMS meningkat sebanyak 22 peratus berbanding 318 pada tahun lalu.

“Peningkatan pelajar di UPMS disumbangkan oleh strategi promosi UPMS melalui program Jom Masuk U, program Walk In@UPMS, promosi di sekolah-sekolah bandar dan luar bandar di Sarawak.

“Seramai 311 pelajar mengambil program diploma dan 78 ialah pelajar mengambil persediaan diploma sains di UPMS,” katanya.

Program diploma yang ditawarkan ialah Kejuruteraan Teknologi Pertanian, Pembangunan Manusia, Pengurusan Perniagaan, Sains Komputer, Kesihatan Haiwan dan Penternakan, Pengurusan Perladangan Makanan, Perhutanan, Pertanian dan Perikanan.

Dr. Ahmad Farhan berkata, bagi memperkukuhkan peranan UPM di Borneo dalam bidang pertanian, keselamatan makanan, perhutanan dan pengajian lain, nama UPM Sarawak telah diumumkan secara rasmi pada 30 Jun lalu daripada nama terdahulu iaitu UPM Kampus Bintulu.

Menurutnya, kehadiran pelajar dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak mencerminkan peranan penting kampus ini dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi di kawasan luar bandar dan Malaysia Timur.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, program orientasi pelajar baharu iaitu Minggu Perkasa Putra anjuran Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni menekankan pembentukan sahsiah, pemantapan jati diri dan penghayatan kehidupan kampus.

“Lonjakan jumlah pendaftaran mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap UPM sebagai institusi yang menyediakan laluan akademik berkualiti tinggi, selari dengan aspirasi True North UPM, antaranya untuk memacu kecemerlangan global universiti berterusan.

“Kita komited dalam memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berkembang secara holistik,” katanya.

Tambah Dr. Arifin, UPM melalui inisiatif Best Living and Learning Experience sentiasa menekankan persekitaran kampus yang kondusif, selamat dan inklusif bagi menyokong kebajikan serta kesejahteraan emosi, mental dan sosial para pelajar.

Menurutnya, UPM menyokong inisiatif Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambri Abdul Kadir melalui draf Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 yang menekankan akses pendidikan inklusif, transformasi digital dan daya saing global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast