Francis mendakwa tindakan menunjukkan senjata secara langsung terhadap pekerja yang tidak memberi ancaman kepada penguat kuasa memberi presepsi buruk berhubung SOP operasi SPRM.

GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dalam pelaksanaan operasi penguatkuasaan agar tidak menimbulkan ketakutan awam.

Ia khususnya melibatkan individu yang tidak terlibat secara langsung dalam kegiatan jenayah.

Pengerusinya, L. Francis berkata, seruan itu dibuat susulan serbuan besar-besaran SPRM terhadap beberapa premis yang disyaki terlibat dalam penyeludupan besi buruk di lima negeri pada Isnin lalu yang didakwa meninggalkan kesan trauma kepada pekerja dan ahli keluarga mereka.

“Kita akui kepentingan membanteras jenayah ekonomi dan menyokong tindakan tegas terhadap sindiket haram namun pelaksanaan operasi perlu mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan mereka yang tidak bersalah.

Francis.

“Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan situasi di mana anggota penguat kuasa lengkap bersenjata kelihatan mengarahkan senjata ke arah pekerja premis, namun secara kasar menunjukkan pekerja itu tidak bersenjata mahupun menunjukkan sebarang unsur ancaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Francis, insiden tersebut bukan sahaja menimbulkan kegusaran kepada pekerja terbabit malah turut menyebabkan kanak-kanak dan ahli keluarga yang berada di lokasi mengalami ketakutan dan tekanan emosi.

“Pendekatan lebih profesional dan berhemah amatlah diperlukan agar tindakan penguatkuasaan tidak disalah tafsir sebagai pencabulan hak atau intimidasi terhadap orang awam yang tidak bersalah.

“Kami percaya SPRM sebagai agensi yang berwibawa sentiasa terbuka menerima maklum balas daripada masyarakat dan akan menilai semula pelaksanaan operasi bagi memastikan keseimbangan antara tindakan tegas dan perlindungan hak awam dapat dicapai,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

SPRM gempur sindiket penyeludupan besi buruk di 5 negeri, kerugian cukai eksport RM950 juta

Media semalam melaporkan SPRM menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai lebih RM183 juta melibatkan sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri bermula Isnin lalu.

Op Metal itu dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast