KUALA LUMPUR – Satu lencongan sementara diaktifkan di laluan KM25.75 hingga KM26.4 arah Kuantan (dari Gombak ke Genting Sempah), Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) bagi kerja-kerja Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, lencongan tersebut melibatkan pengalihan laluan sedia ada dengan kapasiti tiga lorong ke laluan sehala bersebelahan arah Kuala Lumpur.
Ia turut mengekalkan kapasiti tiga lorong bagi memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang tempoh pelaksanaan.
“Reka bentuk Pelan Pengurusan Trafik (Traffic Management Plan – TMP) telah disemak dan disahkan oleh juruaudit keselamatan jalan menerusi Road Safety Audit (RSA) Stage 4 Part 1.
“Seterusnya, RSA Stage 4 Part 2 akan dilaksanakan pada Rabu, 30 Julai ini bagi tujuan semakan pematuhan pelaksanaan dan sebarang penemuan cadangan penambahbaikan berdasarkan kemajuan pembinaan di tapak,” kata LLM dalam stau kenyataan hari ini.
Tambahnya, LLM bersama Syarikat Konsesi AFA PRIME Berhad dan pihak Malaysia Rail Link (MRL), telah menjalankan beberapa siri pemantauan berterusan sejak pengaktifan lencongan ini.
Hasil pemantauan terkini yang dilaksanakan hari ini, mendapati keadaan trafik di lokasi tersebut adalah teratur dan terkawal serta berjalan lancar.
“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda keselamatan di lokasi dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















