Tengku Mohammad Khaireel Tengku Wahab (berdiri) hadir di Mahkamah Rayuan, Putrajaya bagi rayuan akhirnya atas sabitan melakukan amang seksual fizikal muridnya berumur 11 tahun pada 2020. 17 JULAI 2025.

PUTRAJAYA – Seorang bekas guru tahfiz dihantar ke penjara serta merta selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan atas dua kesalahan amang seksual fizikal murid lelakinya berusia 11 tahun pada 2020.

Mangsa ketika memberi keterangan di Mahkamah Sesyen menangis kerana trauma terhadap kejadian tersebut yang berlaku berulang kali dalam tempoh setahun di bilik guru dan warden di sekolah berkenaan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan akhir Tengku Mohammad Khaireel Tengku Wahab, 32.

Panel hakim berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang pada 17 Oktober 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan. Hukuman berkuat kuasa serentak.

Mahkamah Tinggi meminda hukuman itu daripada hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 20 Disember 2022.

Hakim Azman ketika membacakan keputusan itu berpuas hati aduan mangsa yang juga saksi pendakwaan pertama (SP1) kepada doktor yang merawatnya merupakan keterangan yang menyokong kes pendakwaan.

Ujar beliau, begitu juga keterangan yang dikemukakan di hadapan hakim bicara merupakan keterangan menyokong bukan cerita yang direka-reka.

“Mangsa seorang kanak-kanak ketika kejadian berusia 11 tahun yang bersekolah di situ dan aduan dibuat terhadap gurunya seorang ustaz yang bukan sahaja mencemar nama baiknya (ustaz) malah memberi kesan kepada peribadi pengadu sendiri,” ujar beliau.

Hakim Azman selanjutnya berkata, panel itu berpendapat sabitan yang dijatuhkan adalah tepat bagi kedua-dua pertuduhan.

Ujar beliau, berkaitan hukuman pula, panel tersebut berpandangan, penjara 10 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan bukan sesuatu yang melampau atau berlebih-lebihan dengan mengambilkira perayu sepatutnya mengawal kejadian daripada berlaku.

“Hukuman perlu memberi rasa takut kepada masyarakat supaya mengelak perbuatan seumpama itu selain menjauhi mangsa-mangsa yang berumur muda,” ujarnya.

Pada 23 Disember 2020, Tengku Mohammad Khaireel didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar berusia 11 tahun enam bulan di dalam bilik warden asrama sekolah tahfiz berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan pada 11.30 malam, 1 Disember 2020 mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, peguam, Mohd. Shuhairil Ziqrul Sapi bersama-sama Rahiza Zulkifli menghujahkan Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan mangsa yang juga seorang kanak-kanak adalah saksi yang kredibel walhal dia memberi tiga versi berbeza berhubung kejadian tersebut.

Hujah peguam, mahkamah terkhilaf apabila menyatakan keterangan kanak-kanak tu menyakinkan sedangkan versi berlainan diberikan ketika di balai polis, Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) dan ketika disoal siasat oleh pegawai penyiasat.

“Keterangan mangsa tidak boleh dikatakan mencapai tahap menyakinkan walhal pendakwaan tidak memanggil dua lagi saksi kanak-kanak yang tidur di bahagian atas katil dua tingkat itu.

“Bilik warden kecil sahaja dan katil dua tingkat itu jika ada pergerakan akan mengeluarkan bunyi. Namun demikian, kedua-dua kanak-kanak itu tidak dipanggil memberi keterangan oleh pihak pendakwaan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Aznee Salmie Ahmad berhujah agar sabitan dan hukuman dikekalkan atas alasan keterangan mangsa bukan rekaan sebaliknya konsisten ketika perbicaraan di mahkamah.

Hujah beliau, perayu juga tidak menafikan mangsa tidur di biliknya pada malam kejadian.

Perbuatan berlaku berulang kali sepanjang 2020 manakala kedua-dua saksi kanak-kanak yang juga tidur dalam bilik yang sama tidak material kerana mereka tidak menyaksikan kejadian itu.

“Ustaz berkenaan dihormati di pusat tahfiz itu dan mangsa bergantung sepenuhnya kepada guru dan warden sebagai penjaga, namun amanah ibu bapa dikhianati secara jijik dengan melakukan amang seksual fizikal sehingga mendatangkan trauma kepada mangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast