KUANTAN – Tindakan skuad Harimau Malaya menarik diri daripada Kejohanan Piala Negara-Negara CAFA 2025 disifatkan sebagai hilang taring dan memalukan negara.
Pemerhati bola sepak, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, tindakan tersbut tidak wajar dan ia bukan sifat ‘harimau’ sejati.
Menurut beliau, keputusan menarik diri atas alasan kejohanan itu tiada dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah tidak wajar kerana sejak awal pasukan bersetuju untuk menyertainya.
”Semua peminat skuad Harimau Malaya tidak sabar untuk menyaksikan skuad kebangsaan ini beraksi di kejohanan Piala Negara-Negara CAFA 2025 yang akan bermula hujung Ogos nanti.
”Amat teruja sekali untuk melihat Harimau Malaya beraksi setelah kita menyaksikan begitu tajamnya taring Harimau Malaya sewaktu beraksi menewaskan Vietnam 4-0 di gelanggang sendiri baru-baru ini.
”Kita mahu melihat bahawa Harimau Malaya boleh beraksi di mana sahaja dan cabaran pertama datang dari kejohanan CAFA 2025 ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelas Wan Fauzuldin, penarikan diri itu mengecewakan kerana peminat bola sepak negara sememangnya menantikan aksi skuad kebangsaan di pentas antarabangsa tersebut.
Untuk rekod, Harimau Malaya yang diletakkan di dalam kumpulan B bersama tuan rumah Tajikistan, Afghanistan dan juara bertahan iaitu Iran.
Namun malangnya, setelah jutaan peruntukan tambahan dan peruntukan khusus yang diberikan oleh kerajaan untuk pembangunan bola sepak, tiba-tiba pengurusan FAM dan jurulatih mengambil keputusan mudah atas alasan remeh dan memalukan negara.
Menurutnya, kejohanan yang dikatakan tiada di dalam jadual FIFA itu menyebabkan skuad negara menarik diri seolah-olah Malaysia sebelum ini tidak ketahui status kejohanan tersebut dan sanggup menyertainya tetapi hari ini Skuad Harimau Malaya telah menarik diri.
”Saya simpati dengan menteri, Yang Berhormat Hannah Yeoh. Saya faham nada yang beliau hamburkan itu penuh rasa kecewa. Saya setuju dengan YB Hannah bahawa skuad Harimau Malaya khususnya dan FAM amnya mesti sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk bertempur pada bila-bila masa.
”Hari ini negara kita dilekehkan dengan penarikan diri dari kejohanan tersebut. Kita digelar jaguh kampung. Apakah nanti sebarang kejohanan atau perlawanan persahabatan yang kita akan atur tidak mendapat kerjasama dari negara-negara berkenaan?” soalnya.
Wan Fauzuldin turut mempersoalkan apakah FAM masih ada masa untuk menimbangkan kembali penyertaan skuad kebangsaan dalam kejohanan itu.
Jika ada, katanya, skuad kebangsaan harus tampil sebagai Harimau Malaya yang digeruni di Tajikistan.
Bagaimanapun jika tidak, Harimau Malaya tunggu sahaja bertemu Timur Leste, Bangladesh atau Bhutan untuk kita menunjukkan taringnya. – MalaysiaGazette
















