MELAKA – Syarikat perkhidmatan kajian klinikal bertaraf global, Intrinseque Health memilih Melaka untuk melancarkan fasiliti pertamanya di Malaysia.
Lokasinya di Jalan Portugis di sini sekali gus memperkukuh landskap bioteknologi dan kesihatan di negeri itu.
Ketua pegawai eksekutifnya, Nitin Jain berkata, pembukaan cawangan ke-10 itu juga adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara selepas optimis terhadap pulangan dan impak positif yang akan diperolehi.
“Idea pelaburan ini timbul beberapa tahun lalu walaupun pada awalnya kami melihat Melaka ini hanya sebagai sebuah negeri pelancongan.
“Namun selepas kerap ke sini, kami mula melihat gaya hidup dan potensi masyarakat di sini mampu membuka peluang baharu kepada syarikat untuk menjadi contoh untuk menarik lebih banyak syarikat multinasioanal lain ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian pembukaan Intrinseque Health di Jalan Portugis yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Nitin berkata, syarikat itu turut memperkenalkan platform kecerdasan buatan (AI) generasi baharu, INTRIGENCE, yang dibangunkan khas untuk mengoptimumkan sistem rantaian bekalan klinikal.

“Kami menyasarkan sebanyak 500 peluang pekerjaan akan diwujudkan dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus membantu membantu mengukuhkan ekonomi rakyat tempatan.
“Antara perkhidmatan disediakan termasuklah strategi rantaian bekalan klinik, penyimpanan dan inventori, pembekalan dan pembelian bahan klinikal, penyediaan pakar secara strategik serta sokongan pengurusan projek kajian klinikal,” katanya.
Usaha itu, jelasnya, pasti akan mempelawa lebih ramai pemain global memilih Melaka sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor bioteknologi, kesihatan digital dan logistik pintar bagi rantau Asia Tenggara.
Sempena majlis pelancaran ini, Intrinseque Health turut
menyumbangkan 2 skuter EV Paramedik bernilai RM11,600
kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka
sebagai sokongan terhadap keperluan perubatan kecemasan
negeri ini. – MalaysiaGazette
















