KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menegaskan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak pernah diiktiraf oleh undang-undang negara dan jelas diharamkan dalam Islam.
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan di bawah kerangka Perlembagaan, sekali gus menolak sebarang dakwaan kononnya kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keizinan terhadap amalan songsang itu.
“Sejak bila negara kita membenarkan LGBT? Perbuatan ini tidak pernah menjadi dasar mana-mana kerajaan. Malah Seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan telah jelas memperuntukkan hukuman terhadap hubungan sejenis,” katanya dalam kenyataan.
Justeru itu, beliau membidas sikap Pas yang menurutnya seolah-olah mahu menjadi ‘juara moral’ dengan memainkan isu LGBT sepanjang masa demi agenda politik.
Walhal negeri-negeri yang ditadbir parti itu seperti Kelantan dan Terengganu merekodkan pelbagai masalah sosial termasuk kes pembuangan bayi, penderaan seksual dan penagihan dadah yang membimbangkan.
“Jika Pemuda PAS benar-benar serius mahu menangani isu moral, mengapa gejala sosial di negeri sendiri tidak pernah surut? Masalah penagihan dadah di Kelantan masih berada di tangga teratas, diakui sendiri oleh Ketua Pemuda Pas,” ujarnya.
Tambah Danish, perdana menteri telah berulang kali menegaskan kerajaan tidak akan tunduk kepada sebarang agenda liberal ekstrem yang bercanggah dengan nilai Islam dan budaya tempatan.
“Hak asasi manusia tidak bermaksud mengiktiraf perlakuan yang bercanggah dengan agama dan nilai kemanusiaan,” tegasnya.
Dalam kenyataan sama, AMK turut mengingatkan Pas agar tidak menangguk di air keruh dengan memainkan isu sensasi semata-mata untuk meraih populariti politik murahan.
“Fokuslah kepada isu sebenar rakyat termasuk kemiskinan, pendidikan, dan kesejahteraan sosial daripada terus mengalih perhatian dengan retorik tidak berasas,” katanya.
Isu LGBT kembali dibangkitkan oleh Pas dalam beberapa siri kenyataan baru-baru ini yang menuduh kerajaan perpaduan kononnya bersikap longgar terhadap perkara tersebut. -MalaysiaGazette
















