KUANTAN – Seorang wanita maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Maran berhampiran Pondok Polis Paya Bungor, jam 6.30 petang semalam.
Mangsa yang maut disahkan sebagai Che Zaiton Ahmad, 54 tahun, dari Felda Lepar Hilir 4, Kuantan dan bekerja sebagai pembantu kedai makan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Manakala lembonceng, Norizura Rohani, 41, mengalami luka-luka pada beberapa bahagian badan dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang dinaiki mangsa bersama seorang pembonceng wanita melanggar seekor anjing yang tiba-tiba melintas jalan,” katanya sambil menambah kedua-dua wanita tersebut dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Felda Lepar Hilir semasa nahas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Orang awam yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta untuk menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) IPD Kuantan bagi membantu siasatan.
Pihak polis turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan, khususnya di kawasan kurang pencahayaan dan berisiko tinggi berlaku kemalangan. – MalaysiaGazettte
















